8 Jan 2009

DESAKAN MALAYSIA DISOKONG

. 8 Jan 2009

MANGSA KEKEJAMAN ISRAEL: Penduduk Palestin berdoa serta solat jenazah sebelum pengebumian berpuluh-puluh mangsa serangan udara Israel di sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Jabaliya, utara Gaza, semalam.
Oleh Johari Ibrahim, Saufi Hamzah, Mohd Hamizar Hamid dan Khairul Azran Hussinmailto:Hussinbhnews@bharian.com.my


PUTRAJAYA: Desakan Malaysia supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan isu kekejaman Israel di Palestin mendapat sokongan pemimpin Asean dan negara Islam. Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah menerima maklum balas daripada Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan dan Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, yang menyatakan sokongan terhadap cadangan itu.

Perdana Menteri Syria, Mohammed Naji OtriSyria, yang kini dalam lawatan ke negara ini turut menghargai usaha Malaysia. "Ia petanda awal bahawa pendirian Malaysia yang cepat bertindak terhadap isu berkaitan kekejaman rejim Yahudi itu, mendapat perhatian pemimpin dunia," kata Dr Rais selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementeriannya di Wisma Putra, semalam. 

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Malaysia akan menggerakkan usaha bagi mendesak PBB mengadakan sidang khas itu menerusi permuafakatan dalam Kumpulan Hubungan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).


Sokongan pemimpin negara NAM, OIC dan Asean berupaya membentuk desakan kuat untuk meneruskan sidang tergempar di PBB itu. Daripada 192 negara anggota PBB, negara OIC mewakili 57 ahli dalam pertubuhan dunia itu, NAM (114) dan Asean (10). 

Pada sidang media selepas mesyuarat delegasi Malaysia-Syria pula, Rais berkata, mesyuarat Kabinet semalam turut bersetuju Parlimen mengadakan sesi khas membahas dan mengambil ketetapan mengenai isu kekejaman Israel terhadap Palestin. 

Sidang khas Dewan Rakyat itu akan diadakan Isnin depan bermula jam 2.30 petang. Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pergerakan itu akan mewujudkan gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 500 penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak.

"Gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui NGO telah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya. 

Beliau berkata, keangkuhan dan kezaliman berterusan rejim Zionis menuntut seluruh rakyat tanpa mengira usia, kaum dan agama untuk sama-sama berganding bahu menggerakkan tentangan besar-besaran. "Kita akan membabitkan semua pihak, termasuk setiap sekolah dan golongan masyarakat bagi menjayakan inisiatif keamanan ini dengan berkesan sehingga kezaliman ini dihentikan," katanya.


GPE : Sepatutnya, negara-negara umat Islam menghantar tentera ke Palestin untuk membantu umat Islam dan rakyat Palestin di sana. Setakat kutuk-kutuk, atau hantar memorandum tiada gunanya sebab pemimpin dan rakyat Israel kesemuanya pekak, tuli dan bisu!

0 comments: